Politik Afrika Selatan

Untuk rencana lanjutan lihat: Politik Afrika Selatan

Afrika Selatan merupakan negara demokrasi berperlembagaan dengan sistem tiga tingkat dan institusi kehakiman yang bebas. Terdapat tiga peringkat iaitu kebangsaan, wilayah dan kerajaan tempatan yang mempunyai badan perundangan serta eksekutif dengan bidangkuasa yang terhad dalam sfera masing-masing.

Presiden Afrika Selatan memegang dua jawatan iaitu sebagai Ketua Negara dan juga Ketua kerajaan. Beliau dipilih sewaktu kedua-dua dewan bergabung, iaitu Perhimpunan Kebangsaan (National Assembly) dan Majlis Wilayah-wilayah Kebangsaan (National Council of Provinces). Lazimnya, Presiden adalah pemimpin parti majoriti di Parlimen.

Perhimpunan Kebangsaan mempunyai 400 ahli yang dipilih melalui pilihan raya secara perwakilan berkadar. Majlis Negeri-Negeri Kebangsaan (NCoP), yang telah menggantikan Senat pada 1997, terdiri daripada 90 ahli yang mewakili setiap 9 negeri termasuk bandar-bandar besar di Afrika Selatan.

Di Afrika Selatan, pilihan raya diadakan setiap 5 tahun dan setiap rakyat berusia 18 tahun ke atas diwajibkan mengundi. Pilihan raya terakhir ialah pada 22 April 2009, di mana parti ANC yang diterajui Jacob Zuma [4] berjaya memenangi 65.9% kerusi di parlimen. Parti pembangkang utama Democratic Alliance (DA) atau Perikatan Demokratik (16.66%) , parti serpihan ANC yang pro Thabo Mbeki iaitu Kongres untuk Rakyat atau COPE (7.4%), manakala parti Inkatha hanya 4.5%.

Di samping itu, setiap negeri di Afrika Selatan mempunyai satu penggubal undang-undang negeri dan Majlis Eksekutif yang diketuai oleh seorang Perdana Menteri atau "Premier".

Bangunan Dewan Undangan di Cape Town


Dasar Luar Negara

Sewaktu era aparteid, negara ini telah dipulaukan oleh kebanyakan negara termasuk Malaysia. Malah, Afrika Selatan telah berperang secara sulit dengan negara jirannya seperti Angola yang menyokong fahaman komunisme. Pada 1 Jun, 1994, Afrika Selatan dengan rasminya telah menyertai semula organisasi Komanwel dan pada 23 Jun tahun yang sama, negara ini telah diterima semula ke dalam Perhimpunan Agung PBB. Selain itu, negara ini telah menyertai Organisasi Kesatuan Afrika (OAU), yang kini dikenali sebagai Kesatuan Afrika; dan perubahan ini telah dicadangkan oleh Presiden Afrika Selatan iaitu Thabo Mbeki pada 2002.

Sejak kemunculannya selepas pemulauan antarabangsa sewaktu era aparteid, negara ini telah memainkan peranan yang penting di arena global. Dasar luar negaranya yang utama ialah untuk menjalin perhubungan yang baik dengan semua negara, terutamanya dengan negara-negara jiran dalam Komuniti Pembangunan Selatan Afrika (SADC) dan ahli-ahli lain dalam Kesatuan Afrika. Di samping itu, negara ini telah memainkan peranan penting dalam menamatkan konflik serta krisis politik yang melanda rantau ini, termasuklah di Burundi, Republik Congo, Comoros, dan Zimbabwe. Pada Ogos 1998, negara ini telah mempengerusikan Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM), yang berakhir pada Julai 2002.

Swaziland telah meminta Afrika Selatan untuk membuka perundingan berkenaan menggabungkan semula beberapa wilayahnya yang berhampiran yang diduduki etnik Swazi atau kawasan yang merupakan sebahagian kerajaan Swazi yang lampau.

Selain itu, status Afrika Selatan sebagai pusat pemindahan perkapalan bagi dadah heroin dan kokaina telah mencetuskan kontroversi. Penyalahgunaan dadah tempatan yang agak tinggi telah merangsangkan perdagangan dadah; serta meningkatkan lagi permintaan kokaina di negara ini. Malah, Afrika Selatan adalah terkenal sebagai pasaran dunia terbesar bagi dadah methaqualone, yang dikenali oleh penduduk tempatan sebagai "Mandrax". Dadah ini biasanya diimport secara haram dari India melalui beberapa negara Afrika Timur. Penanaman ganja secara haram juga amat berleluasa di sini.

Afrika Selatan juga telah meningkatkan bilangan tenteranya di sempadan Zimbabwe untuk membendung pelarian dari negara tersebut. Kadar pelarian semakin meningkat akibat pemerintahan kuku besi Presiden Zimbabwe iaitu Robert Mugabe.

Tentera

Untuk rencana lanjutan sila lihat: Tentera Afrika Selatan

Angkatan Tentera Afrika Selatan atau lebih dikenali sebagai Angkatan Pertahanan Nasional Afrika Selatan (SANDF), telah ditubuhkan pada tahun 1994. Sebelum itu, ia dikenali sebagai Angkatan Pertahanan Afrika Selatan (SADF). Angkatan yang baru ini terdiri daripada angkatan tentera lama, berserta pasukan militari daripada beberapa organisasi yang berjuang untuk kebebasan kaum kulit hitam iaitu Umkhonto we Sizwe (MK), Tentera Kebebasan Rakyat Azania (APLA), dan angkatan tentera dari bekas kawasan "homeland". SANDF boleh dibahagikan kepada empat cabang utama, Tentera Afrika Selatan, Tentera Udara Afrika Selatan, Tentera Laut Afrika Selatan, dan Khidmat Kesihatan Ketenteraan Afrika Selatan.

Sewaktu era aparteid di bawah pentadbiran Botha, negara ini telah menjalankan program senjata nuklear, kononnya dengan bantuan pihak Israel. SADF juga mungkin pernah melancarkan ujian nuklear di Atlantik pada 1979, tetapi sejak itu negara ini telah menolak program nuklearnya dan menandatangani Perjanjian Pengawalan Senjata Nuklear (NPT) pada 1991 selepas menghapuskan longgokan nuklearnya yang kecil. Hanya Afrika Selatan berjaya membangunkan senjata nuklear di benua Afrika ini, dan merupakan salah satu negara yang secara sukarela memansuhkan program nuklearnya. Perjanjian Pengawalan Senjata Nuklear (NPT) menggalakkan negara ahli yang berjaya dalam program nuklear untuk menarik balik program tersebut.

Sejak kebelakangan ini, SANDF telah menjadi angkatan keamanan utama di rantau ini, dan telah terlibat dalam pelbagai operasi termasuk di Lesotho, Republik Demokratik Congo, serta Burundi. Angkatan ini juga turut terlibat dalam pasukan pengaman multinasional di bawah PBB.

Organisasi antarabangsa

Afrika Selatan adalah ahli kepada beberapa organisasi antarabangsa, antaranya:

Rujukan

WikiPedia: Afrika Selatan http://www.britannica.com/eb/article-9113829/LESOT... http://www.time.com/time/europe/html/050606/africa... http://www.youtube.com/watch?v=NsWwz9UmjVk&watch_r... http://www.southafrica.info http://www.southafrica.info/about/education/educat... http://www.southafrica.info/about/sport/greats/ http://web.archive.org/web/20050622043654/http://w... http://dmoz.org/Regional/Africa/South_Africa //ms.wikibooks.org/wiki/Special:Search/South_Afric... //commons.wikimedia.org/wiki/Special:Search/South_...